in

Faktor Punca Kegagalan Membentuk Keluarga Bahagia

Pelbagai tema yang berpotensi untuk menjadi tajuk soalan karangan Bahasa Melayu. Pelajar boleh merujuk pada guru akan tema yang sering digunakan dalam tajuk soalan karangan Bahasa Melayu. Antara tema yang popular dalam penulisan karangan adalah bertemakan kekeluargaan. Berikut adalah contoh karangan punca-punca kegagalan membentuk keluarga bahagia yang sejajar dengan tema kekeluargaan.

Soalan ini berkaitan dengan kehidupan pelajar dan mereka mampu untuk memberikan idea atau pandangan yang baik dalam soalan yang diberikan. Pelajar juga boleh merujuk dan cuba menghuraikan isi-isi penting yang telah dikongsi dengan pengolahan yang lebih baik dalam penulisan karangan masing-masing. Bimbingan daripada guru masing-masing juga penting agar penulisan karangan anda menepati soalan yang diberikan.

Faktor-Faktor Yang Mempunyai Hubungan Dengan Pembentukan Keluarga Bahagia

Punca Kegagalan Membentuk Keluarga Bahagia

Isi-isi penting

  • Kurang ilmu dan bimbingan dalam rumah tangga
  • Kesibukan mengejar kerjaya
  • Kesempitan sosioekonomi
  • Kurang didikan dan penghatayan agama
  • Faktor seksual
  • Keganasan rumah tangga

Contoh Karangan Punca Kegagalan Membentuk Keluarga Bahagia Yang Harmoni

Pendahuluan

Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia. Namun disebalik itu, kita acapkali tersentak oleh pelbagai permasalahan sosial yang dicetuskan oleh rakyat kita sendiri seperti kegagalan institusi keluarga. Kes penceraian pasangan yang telah berkahwin saban hari semakin meningkat dan membimbangkan. Kegagalan dalam membentuk keluarga yang bahagia akan menyebabkan pelbagai masalah seperti keganasan rumah tangga dan masalah sosial remaja. Hal ini seterusnya akan menular kepada masyarakat dan seterusnya mengakibatkan keruntuhan generasi yang suatu hari nanti akan menjadi seorang ketua keluarga dan harapan anak bangsa untuk menyumbang kepada negara. Oleh itu, kita sewajarnya mengenali faktor gagalnya membentuk keluarga bahagia supaya dapat menjadi pengajaran dan iktibar.

Isi 1

Punca dominan dalam kegagalan sesebuah institusi kekeluargaan adalah kerana pasangan yang mendirikan rumah tangga kurang ilmu pengetahuan dan bimbingan dalam kekeluargaan. Percintaan merupakan suatu perkara yang subjektif dalam lumrah kehidupan manusia. Namun begitu, setiap individu perlu mengenali pasangan yang bakal menjadi teman hidup mereka samada kita selesa dengan perangai dan tingkah laku pasangan dalam segala situasi dan aspek kehidupan. Persis peribahasa Melayu, tak kenal maka tak cinta. Justeru, golongan yang berhajat untuk ke alam perkahwinan seharusnya mempersiapkan diri dengan ilmu yang kukuh sebelum mengahwini pasangan dan melaksanakan tanggungjawab dengan baik pada pasangan serta anak-anak. Ibu bapa serta ahli keluarga juga sebenarnya berperanan menasihat dan memberi bimbingan kepada ahli keluarga sekiranya berlaku kepincangan dalam rumah tangga.

Isi 2

Selain itu, kegagalan dalam membentuk keluarga bahagia adalah kerana ketua keluarga atau pasangan terlalu mengejar kejayaan dalam kerjaya masing-masing. Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa kemajuan dalam kerjaya seseorang adalah perkara yang baik tetapi sekiranya individu tersebut mengabaikan keluarga demi mengejar cita-citanya ia adalah suatu perkara yang merugikan. Anak-anak seharusnya mendapat perhatian dan kasih sayang yang cukup daripada ibu bapa kerana kemajuan dunia mutakhir ini berisiko besar kepada mereka sekiranya tidak dibimbing dengan cara kehidupan yang betul. Sebagai contoh, ramai penggiat hiburan yang menjadi tumpuan masyarakat gagal dalam perkahwinan kerana pasangan tidak selesa dengan corak kehidupan mereka yang tidak menentu. Perkara ini wajib dibendung agar anak-anak yang merupakan mangsa dalam krisis ibu bapa mereka tidak terdedah dan terpengaruh dengan masalah sosial seperti pengambilan dadah dan sebagainya dek kerana perasaan tersisih dan ingin memberontak.

Isi 3

Pada masa yang sama, kesempitan sosioekonomi juga merupakan punca kegagalan dalam membentuk keluarga bahagia. Trend perkahwinan muda yang semakin menjadi polemik masyarakat kita hari ini boleh memberi implikasi yang buruk sekiranya tidak dibincangkan. Peningkatan kos sara hidup membimbangkan rakyat dan golongan muda terutamanya. Hal ini kerana mereka bertangunggjawab dalam menyediakan kemudahan asas seperti rumah yang kondusif, pakaian yang selesa, kenderaan yang berfungsi serta makan dan minum yang cukup untuk setiap ahli keluarga apabila sudah berumah tangga. Maka, kestabilan kewangan adalah faktor utama dalam membentuk keluarga yang bahagia. Ibu dan bapa juga perlu menyimpan atau mempunyai sumber kewangan yang kukuh untuk kegunaan pada masa kecemasan atau untuk menyediakan kemudahan kepada anak anak. Mereka perlu sedar bahawa keadaan sosioekonomi yang sempit boleh menyebabkan anak-anak remaja bertindak diluar kawalan untuk mendapatkan apa yang mereka mahu.

Isi 4

Akhir sekali, antara punca kegagalan adalah kurang penghatayan dan didikan agama. Lazimnya, setiap agama mementingkan sahsiah diri dan nilai murni dalam kehidupan seseorang. Oleh itu, jika setiap daripada kita menyemat ilmu agama dan nilai murni dalam kehidupan seharian sudah pasti kita mampu menjadi seorang yang lebih intelektual dan berketerampilan dalam menghadapi setiap situasi kehidupan khususnya dalam hal kekeluargaan. Justeru, pengisian rohani dalam setiap individu perlu dilakukan setiap hari dengan cara bermuhasabah diri dalam setiap perlakuan yang dilakukan. Tambahan pula, anak anak ini perlu dididik menghayati agama sejak kecil lagi seperti kata pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Perkara ini mustahak kerana apabila mereka sudah menginjak ke usia remaja, mereka akan sukar untuk menerima nasihat dan melakukan perubahan.

Penutup

Natijahnya, pelbagai punca dapat dikenal pasti dalam kegagalan membentuk sebuah keluarga yang bahagia. Setiap individu sebenarnya berperanan dalam memastikan institusi kekeluargaan masing-masing berada dalam keadaan yang baik dan bahagia. Kita perlu sentiasa berlapang dada dan meluaskan fikiran dalam mempelajari segala ilmu dan tabiat manusia dalam menghadapi badai dan cabaran kehidupan. Seperti peribahasa Melayu berkata, laut ditimba tidak akan kering yang bermaksud tidak habiskepandaian seseorang itu selagi hayat dikandung badan. Semoga setiap anggota masyarakat, media dan pihak kerajaan sentiasa menyedarkan ahli masyarakat dalam kepentingan membentuk keluarga bahagia. Keluarga yang bahagia akan melahirkan generasi muda yang berpotensi besar dalam memacu negara mencapai kemajuan dan berdaya saing dengan negara maju yang lain di masa hadapan.

SAPS Ibu Bapa 2017 Semak Keputusan Peperiksaan Online

SAPS Ibu Bapa 2020 Semak Keputusan Peperiksaan