in

Kebaikan Kegiatan Kokurikulum Di Sekolah

Contoh Karangan Kebaikan Kegiatan Kokurikulum Kepada Semua Pelajar. Panduan buat pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM. Berikut dikongsikan contoh karangan SPM Bahasa Melayu bertajuk Semua pelajar wajib menyertai kegiatan kokurikulum. Huraikan Kebaikan Kegiatan Kokurikulum Di Sekolah.

Contoh Karangan SPM : Kebaikan Kegiatan Kokurikulum Di Sekolah

Semua pelajar wajib menyertai kegiatan kokurikulum. Huraikan kebaikan kegiatan kokurikulum.

Kebaikan Kegiatan Kokurikulum Di Sekolah
Kegiatan Kokurikulum

Kegiatan kokurikulum dapat didefinisikan sebagai kegiatan yang dijalankan di luar bilik darjah.Kegiatan ini termasuklah kegiatan sukan dan permainan, pertubuhan pakaian seragam dan kelab atau persatuan. Setiap pelajar diwajibkan supaya menyertai sekurang-kurang satu daripada setiap aktiviti tersebut. Kegiatan kokurikulum ini bukan sahaja dapat memberikan keseronokan malahan dapat mendatangkan pelbagai kebaikan kepada pelajar yang menyertainya

Kebaikan

Salah satu kebaikan yang diperoleh daripada kegiatan kokurikulum ialah para pelajar dapat meningkatkan daya kepemimpinan. Daya kepemimpinan ini dapat dipupuk apabila seseorang pelajar dilantik sebagai ketua dalam sesuatu kegiatan. Daya kepemimpinan ini juga amat berguna kepada para pelajar apabila sudah dewasa. Sebagai contohnya, pelajar yang pernah memimpin sesuatu pertubuhan seperti pengakap, kadet remaja, dan sebagainya, mereka akan lebih yakin untuk menjadi pemimpin sesuatu organisasi pada suatu hari nanti. Oleh itu, daya kepemimpinan ini haruslah dipupuk sejak awal lagi kerana kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Selain itu, kesihatan yang baik dan otak yang cerdas akan diperoleh daripada kegiatan kokurikulum. Kebanyakan pelajar di sekolah lebih suka menyertai kegiatan sukan atau permainan disebabkan faktor-faktor tertentu. Kegiatan sukan ini dapat membina stamina yang kuat serta membolehkan para pelajar mengeluarkan peluh, iaitu salah satu bahan perkumuhan manusia. Sebagai contohnya, aktiviti sukan dan permainan seperti bola sepak dapat membina kekuatan stamina, manakala sukan catur pula akan mencerdaskan minda seseorang. Pepatah Melayu mengatakan bahawa badan sihat, otak cerdas.

Kebaikan Kokurikulum

Seterusnya, kegiatan kokurikulum juga dapat memupuk semangat perpaduan dalam kalangan pelajar. Semangat perpaduan ini adalah amat penting dalam mewujudkan negara yang aman dan makmur. Semangat perpaduan dapat dipupuk apabila pelajar berbilang kaum bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam sesuatu kegiatan. Sebagai contohnya, pelajar berbilang kaum mewakili pasukannya untuk bertanding dalam acara sukan yang diadakan setiap tahun seperti dalam pasukan bola sepak. Secara tidak langsung, hubungan antara pelajar akan bertambah erat dan kukuh ibarat isi dengan kuku serta bersatu untuk mencapai matlamat yang diharapkan kerana bersatu teguh bercerai roboh.

Kegiatan kokurikulum juga dapat mengembangkan potensi seseorang pelajar. Sesetengah pelajar tidak mengetahui kelebihan yang terdapat pada dirinya. Melalui kegiatan kokurikulum, kelebihan itu akan dapat diketahui apabila seseorang pelajar bergiat dalam kokurikulum. Sebagai contohnya, ada pelajar yang tidak mengetahui kelebihan yang ada pada dirinya, tetapi setelah menyertai kegiatan kokurikulum, bakatnya terserlah dan terus bergiat dalam acara yang diminati, yang akhirnya menjadi juara di kelabnya. Dengan ini, pelajar itu akan berpeluang untuk mewakili kelabnya untuk bertanding pada peringkat sekolah. Secara tidak langsung, kejayaan pada peringkat sekolah ini akan membawa pelajar ini untuk mewakili daerah, negeri, dan kemudiannya negara.

Kesimpulan

Kesimpulannya, pihak sekolah hendaklah memainkan peranan supaya pelajar bergiat cergas dalam kegiatan kokurikulum. Hal ini demikian kerana kegiatan kokurikulum ini memberikan peluang kepada para pelajar untuk menjadi lebih giat dan cergas. Selain itu, kerjasama daripada semua pihak terutamanya ibu bapa harus diperkukuh supaya segala aktiviti yang dirancang dapat dilaksanakan. Pepatah Melayu mengatakan bahawa hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Oleh itu, semua pelajar digalakkan mengambil bahagian dalam aktiviti kokurikulum supaya pelajar yang berdaya saing, berketerampilan, kreatif dan inovatif dapat dihasilkan.

Contoh 2 – Kebaikan Kegiatan Kokurikulum Di Sekolah

Berikut adalah contoh karangan berformat ceramah yang bertajuk : Kepentingan Menyertai Aktiviti Kokurikulum.

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Pengetua Sekolah Sekolah Menengah Kebangsaan Alam Budi, Yang Mulia para guru, ibu bapa, dan murid yang dikasihi sekalian.

Hadirin sekalian,

Terlebih dahulu, saya melafazkan jutaan terima kasih kepada pihak sekolah, khususnya tuan pengetua yang sudi mengundang saya untuk menyampaikan sebuah ceramah yang bertajuk, ”Kepentingan Menyertai Aktiviti kokurikulum “ sempena Majlis Perasmian Persatuan Ibu Bapa dan Guru Tahun 2018.

Saudara dan saudari, Kebaikan Kegiatan Kokurikulum Di Sekolah

Segelintir masyarakat, khususnya ibu bapa pada hari ini masih menganggap penglibatan anak-anak mereka dalam kegiatan kokurikulum membazirkan masa dan tenaga anak-anak mereka. Peranan dan kepentingan aktiviti kokurikulum dalam melahirkan generasi cemerlang dan seimbang seolah-olah telah diketepikan lantaran mengejar kecemerlangan akademik semata-mata. Sistem peperiksaan yang berorientasikan peperiksaan dijadikan sebagai alasan untuk menolak penglibatan anak-anak mereka secara aktif dalam kegiatan kokurikulum. Pelbagai langkah telah dilaksanakan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia untuk meningkatkan kesedaran dan pandangan negatif ibu bapa terhadap aktivitit luar darjah ini. Aktiviti kokurikulum ternyata dapat menjadi wadah untuk melahirkan generasi-generasi yang berketrampilan dan berwawasan mengikut acuan negara ini.

Melalui aktiviti kokurikulum,

murid-murid dapat menghabiskan masa lapang mereka dalam aktiviti yang berfaedah selepas sesi persekolahan. Hal ini dapat mengelakkan mereka daripada melibatkan diri dalam kegiatan yang tidak sihat di luar kawasan sekolah, seperti melayari laman web pornografi, melepak, penyalahgunaan dadah atau melibatkan diri dalam pergaulan seks bebas. Dengan memperkenalkan aktiviti kokurikulum, masa mereka terdedah kepada gejala sosial dapat dikurangkan. Hal ini seterusnya boleh mengurangkan masalah disiplin yang semakin serius berlaku dalam kalangan murid.

Saudara dan saudari, Kebaikan Kegiatan Kokurikulum Di Sekolah

Kegiatan kokurikulum juga mengeratkan hubungan antara murid dengan murid. Semasa berpersatuan, murid dapat mengenali murid lain dengan lebih dekat. Hal ini dapat menimbulkan perasaan kekitaan dalam kalangan murid. Hal ini penting untuk mencapai perpaduan kaum dalam kalangan generasi muda kerana murid yang berbilang kaum berpeluang berkomunikasi dan bekerjasama antara satu dengan lain dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan dalam persatuan dan kelab. Murid yang mengikuti aktiviti kokurikulum juga akan mengetahui adat resam, budaya, dan agama kaum lain dan sekali gus melahirkan generasi yang lebih sensitif dan memahami pantang larang kaum lain.

Ringkasnya,

penglibatan murid dalam kegiatan kokurikulum mampu mewujudkan perpaduan serta mengikis sentimen perkauman dalam diri generasi muda hari ini.Di samping itu, penglibatan murid dalam aktiviti kokurikulum juga dapat mencungkil bakat seseorang murid dalam pelbagai bidang. Hal ini dilihatkan apabila seseorang murid yang mengikuti kelab olahraga di sekolah didedahkan kepada dunia sukan.

Penglibatan secara aktif oleh murid dalam kelab ini bukan sahaja mencungkil bakat mereka dalam pelbagai acara sukan,malah memberi peluang kepada mereka untuk menguasai kemahiran-kemahiran asas dalam sesuatu acara sukan yang tidak dipelajari melalui buku pelajaran sekolah. Mereka juga berpeluang menjadi atlet-atlet pelapis negara pada masa yang akan datang dan sekali gus mencipta nama dalam arena sukan antarabangsa. Selain melibatkan diri dalam bidang sukan,para murid juga dapat didedahkan kepada pelbagai bidang cabang seni, seperti seni pertahanan diri, berpidato, bersajak, menulis cerpen, dan lain-lain lagi. Hal ini secara tidak langsung telah menyediakan mereka ke arah memikul tanguungjawab untuk mengharumkan keluarga, sekolah,bangsa, dan negara.

Hadirin sekalian, Kebaikan Kegiatan Kokurikulum Di Sekolah

Kegiatan kokurikulum juga dapat mendisiplinkan murid. Mereka akan dibiasakan untuk menggunakan masa dengan baik, cara pemakaian yang kemas, dan menghormati orang lain. Persatuan pasukan beruniform, seperti pasukan pengakap, pandu puteri, bulan sabit merah dan sebagainya berasaskan nilai disiplin diri yang tinggi. Dalam aktiviti kawad kaki misalnya, nilai kepatuhan kepada masa dan arahan amat dititikberatkan. Murid akan didisiplinkan agar mematuhi arahan pemimpin yang menerajui pucuk kepimpinan sesuatu persatuan. Tambahan pula, mereka juga perlu sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh jawatankuasa persatuan tersebut dan mengelakkan diri daripada mengingkari perintah komander semasa sesuatu aktiviti dijalankan.

Melalui peraturan ini,

lama-kelamaan para murid dapat belajar mendisiplinkan diri dan mengamalkan nilai berdikari dalam menguruskan aktiviti harian mereka. Sementara itu, murid juga dapat belajar dalam suasana yang menyeronokkan. Hal ini dapat mengelakkan murid daripada berasa jemu ke sekolah. Sebagai contohnya, murid dapat menyertai lawatan sambil belajar ke kilang-kilang pemprosesan barang dan perkhidmatan, stesen penyiaraan, dan Taman Negara.

Hal ini dapat menigkatkan pengetahuan am mereka dan meningkatkan minat mereka dalam bidang pelajaran melalui lawatan ke institusi-institusi pengajian tinggi. Selain itu, murid juga dapat mencari ketenangan diri melalui aktivitikokurikulum yang disertai mereka. Sebagai contohnya, murid dapat menyertai kem, meredah hutan atau menjalani ekspedisi pada cuti sekolah melalui program yang dianjurkan oleh kelab dan persatuan.

Sidang hadirin, Kebaikan Kegiatan Kokurikulum Di Sekolah

Kegiatan kokurikulum amat penting dalam usaha melahirkan generasi yang berkualiti dan cemerlang dalam semua aspek mengikut acuan Malaysia. Ibu bapa tidak seharusnya terpengaruh dengan anggapan negatif bahawa kegiatan kokurikulum tidak penting dan membazirkan masa anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana anak-anak juga perlu meluangkan masa mereka dalam pelbagai kegiatan sosial. Dan tindakan yang membebankan anak-anak mereka dengan tekanan untuk memperoleh keputusan yang baik akan menjejaskan perkembangan emosi kanak-kanak.

Oleh sebab itu, ibu bapa harus menyokong penglibatan anak-anak mereka dalam kegiatan kokurikulum untuk melahirkan tampuk pemimpin negara yang seimbang dalam bidang akademik dan kokurikulum .Sekian Terima kasih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jadual UPSR 2018 tarikh peperiksaan

Jadual Waktu Peperiksaan UPSR 2018 Exam Date